Sunday, 22 November 2015

Kelayakan Pemimpin Berdasarkan Qowiyyun Amin-22/10/2015

QAWIYY itu bermaksud kekuatan, keupayaan, kemahiran dan segala yang diperlukan untuk sesuatu tugasan itu dilakukan mengikut spesifikasinya. Di dalam bahasa semasa, kalimah Qawiyy ini boleh difahami sebagai nilai KOMPETENSI.
AMEEN pula merujuk kepada sifat amanah, bertanggungjawab dan segala kualiti akhlaq seseorang yang mudah untuk difahami sebagai nilai INTEGRITI.

Seorang pemimpin haruslah dipilih berdasarkan ciri-ciri Qowiyyun Amin.


Siapakah Pemimpin?

Dalam fiqh Islam, ketua negara atau pemimpin umat Islam disebut dengan beberapa nama. Ia adalah seperti Khalifah, Imamatul Kubra (pemimpin utama atau tertinggi), al-Imam, Waliyyul Amr, Imaratul Mukminin atau Amirul Mukminin, imam al-Muslimin, Sultan, dan al-Malik (raja). Kemudian, di bawah pemimpin tertinggi akan ada pula wakil-wakil pemimpin, para pembantunya, menteri-menteri, wali kota, garbenor, panglima, dan selainnya yang dilantik oleh pemimpin pertama (tertinggi).

Memilih seorang pemimpin (muslim) bagi menguruskan hal ehwal umat Islam dalam sesebuah negara hukumnya adalah wajib berdasarkan al-Qur’an, as-Sunnah dan ijma’ ulama. Tugas pemimpin umat Islam secara umum adalah untuk menjaga urusan agama dan dunia.

Al-Khaththabi rahimahullah menyebutkan:

ان المراد بأئمة المسلمين الخلفاء وغيرهم ممن يقوم بأمور المسملين من اصحاب الولايات

“Yang dimaksudkan dengan pemimpin umat Islam adalah para khalifah dan selainnya dari kalangan para pemimpin yang memegang tanggungjawab menguruskan hal-ehwal umat Islam (masyarakat).” (Syarah Shahih Muslim, 2/38)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan ditanya berkenaan kepimpinannya. Seseorang amir (pemimpin) yang menguruskan hal ehwal masyarakat adalah pemimpin, dan ia akan disoal berkenaan urusan kepimpinannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 6/296, no. 1627. Hadis hasan sahih)

Syaikh ‘Abdus Salam B. Barjas rahimahullah telah menggariskan beberapa kaedah dalam menentukan siapakah dia pemimpin (bagi umat Islam). Yang dengannya ia perlu ditaati, dihormati serta mendapat hak-haknya sebagai pemimpin atau pemerintah. Berikut disimpulkan kaedah-kaedah tersebut secara ringkas yang diambil dari buku beliau Mu’ammalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah, pada bab fii Qowa’id Tata’allaq bil Amanah:

1 – Sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam yang memiliki kedaulatan atau kuasa mentadbir masyarakat atau rakyat. Sama ada dari sudut perundangan, kuasa, kekuatan, sokongan rakyat, ataupun ketenteraan.

2 – Sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam yang telah dipilih, atau telah menang dan memegang kuasa pemerintahan, maka dia adalah pemimpin yang wajib ditaati dan dihormati, tidak boleh dilawan, dan tidak boleh keluar dari ketaatan kepadanya. Sama ada dia mencapai kerusi kepimpinan tersebut secara syar’i atau sebaliknya.

3 – Walaupun pemimpin tersebut tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan sebagai seorang pemimpin yang sah, namun apabila dia telah memegang kekuasaan dalam pemerintahan, maka wajib untuk ditaati dan haram menentangnya.

4 – Dibolehkan bagi setiap negara, atau wilayah tertentu memiliki pemimpin masing-masing tanpa terikat dengan wilayah yang lain apabila ianya telah berlaku. Setiap masyarakat atau rakyat perlu mentaati pemimpin tertinggi dan wakil-wakilnya bagi wilayah atau negaranya masing-masing.

Imam asy-Syaukani rahimahullah ketika menafsirkan firman Allah Subhanhu wa Ta’ala, surah an-Nisa’ ayat 59, beliau menyatakan:

وأولي الأمر هم: الأئمة، والسلاطين، والقضاة، وكل من كانت له ولاية شرعية لا ولاية طاغوتية

“Ulil amri adalah para imam, sultan, qadhi, dan setiap orang yang memiliki kekuasaan syar’iyyah, bukan kekuasaan thaghutiyyah.” (Imam asy-Syaukani, Fathul Qadir, 2/166)

“Para ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ulil amri di sini adalah orang yang Allah wajibkan kepada kita untuk taat kepadanya, iaitu mereka yang memegang kekuasaan dan memimpin. Ini adalah perkataan jumhur ulama salaf dan khalaf daripada kalangan ahli tafsir, fuqaha’ (ulama fiqh), dan selainnya. Dan ada yang menyatakan ia adalah ulama. Dan ada pula pendapat lain menyatakan ia adalah pemimpin dan ulama. Adapun yang menyatakan bahawa yang dimaksudkan sebagai ulil amri di sini adalah para sahabat sahaja, maka pendapat ini adalah tertolak.” (Syarah Shahih Muslim, 12/224)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyebutkan:

وهو أن النبي صلى الله عليه و سلم أمر بطاعة الأئمة الموجودين المعلومين الذين لهم سلطان يقدرون به على سياسة الناس لا بطاعة معدوم ولا مجهول ولا من ليس له سلطان ولا قدرة على شيء أصلا

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memerintahkan supaya taat kepada imam (pemimpin) yang sah (yang wujud), yang diketahui, yang memiliki (memegang) kuasa perundangan untuk mentadbir urusan masyarakat. Tidak ada ketaatan bagi pemimpin yang tidak wujud, yang tidak diketahui (atau tidak diiktiraf) sebagai pemimpin, dan yang tidak memiliki jawatan (kuasa) kepimpinan ke atas segala sesuatu yang mana secara asalnya tidak ada ketaatan bagi orang yang tidak memiliki kekuasaan dan tidak memiliki kemampuan apapun.” (Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah an-Nabawiyah, 1/115 - Mu’assasah al-Qurthubah)

Ibnu Baththal berkata, “Para fuqaha’ telah sepakat (ijma’) berkenaan kewajiban mentaati sultan (pemerintah) yang memiliki kuasa walaupun dia mendapat kuasa tersebut dengan cara rampasan atau pemberontakan (mutaghallib), dan hendaklah kita berjihad bersama-samanya. Ini adalah kerana ketaatan kepadanya lebih baik dari keluar meninggalkan ketaatan kepadanya (dengan mengambil sikap membangkang atau memberontak), yang dengannya mampu memelihara darah dan menenangkan orang ramai (masyarakat). Tidak ada pengecualian dalam perkara ini, melainkan apabila sultan melakukan kekafiran yang nyata.”.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/7)

Sebagaimana juga perkataan Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H), “Apabila naiknya Abdul Malik B. Marwan dengan cara keluar menentang Ibnu az-Zubair, membunuhnya, memaksa rakyat dengan pedang hingga dia naik sebagai imam (pemimpin) dan diberikan bai’ah, maka wajib pula mentaati pemerintah yang mutaghallib (yang naik dengan cara yang tidak syar’i) ini.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 8/526)

No comments:

Post a Comment