Sunday, 22 November 2015

Prinsip IQRA' Sebagai Pemaju Tamadun, Cara Penyelesaian Sebenar Berfokuskan Terhadap Diri Sendiri- 5/11/2015

PERINTAH Iqra’, wahyu pertama yang turun pada Ramadan, meletak batu asas dan etos tamadun manusia.

Ia tamadun yang bertujuan dan berasaskan prinsip kesejahteraan untuk alam sejagat.

Tamadun yang tidak angkuh untuk mendakwa bahawa ialah yang paling berkuasa dan segala-galanya tunduk kepada ilmu dan kekuasaannya.

Tamadun yang asasnya bukan prinsip ‘siapa kuat dia menang’, tetapi prinsip saling menyempurnakan dan kerjasama (ta’aruf dan ta’awun).

Inilah kesimpulan utama yang boleh diambil daripada analisis ayat pertama Al-Quran, yakni perintah Iqra’ – daripada tiga bahagian rencana saya yang lalu.


Pada bahagian pertama, saya menegaskan perubahan minda dan jiwa yang berlaku pada seorang Rasul ummi dan masyarakat ummi dengan perintah Iqra’.

Bahagian kedua menjelaskan maksud utama Iqra’, yakni menghimpunkan, meneliti dan menelaah makna, rahsia dan hikmah di sebalik sesuatu, dan bukan hanya butiran maklumat mengenai sesuatu.

Pada bahagian ketiga saya menegaskan kita diperintah membaca semua yang tersurat dan tersirat.

Beberapa kesimpulan boleh dibuat di sini daripada pembahasan lalu.

Pertama: Pada wahyu pertama, perintah membaca (Iqra’) dan menulis (pena) datang berdampingan. Membaca dan menulis asas pembangunan sebuah tamadun.

Bahkan, kemampuan mencipta bahasa dan tulisan adalah mukjizat manusia yang tidak ada pada makhluk lain.

Melalui ciptaan bahasa dan tulisan, ilmu terus dipelajari, dibangunkan, dimajukan, diajar dan disebarkan dari satu generasi ke satu generasi.

Tidak hairanlah ulama dan cendekiawan Islam terdahulu membincangkan makna ilmu dalam cara yang tidak pernah dibincangkan tamadun lain.

Ini diakui sendiri oleh seorang pemikir tersohor Barat, Franz Rosenthal, ketika menulis kajiannya mengenai tradisi ilmu pemikir, Islam Knowledge Triumphant (Kejayaan Ilmu Islam).

Tidak hairanlah teknologi tulisan dan bahan tulisan (kertas, pena, dan pencetakan) begitu maju hingga diakui para pengkaji Barat dan Timur.

Kedua: Kita diperintah membaca segala-galanya, yang tersurat dan tersirat, bukan hanya membaca apa yang dikatakan sebagai buku atau ilmu agama.

Ini kerana sesungguhnya rahsia dan hikmah Allah swt termaktub dalam semua ilmu.

Kita diminta meneliti, menelaah dan menghimpunkan rahsia dan hikmah ini.

Sesungguhnya tidak ada pemisahan antara ‘ilmu agama/akhirat’ dengan ‘ilmu dunia’ atau ‘ilmu sekular’.

Jika mempelajari ilmu dunia tanpa mempelajari ilmu agama dianggap sebagai sekularisasi (dan timbulnya istilah sekolah sekular atau pendidikan sekular), tidak kurang sekular apabila seseorang mempelajari ilmu agama tanpa mempelajari ilmu dunia.

Yang perlu dipertimbang bukan apa yang dipelajari, tetapi tujuan apa yang dipelajari.

Pastinya kita perlu menghimpun dan meneliti butiran-butiran maklumat mengenai hakikat sesuatu.

Tetapi Iqra’ menuntut kita menghimpun maksud, tujuan dan hikmah sesuatu. Ia mengingatkan kita akan tujuan ciptaan kita.

Sebagai contoh, manusia meneliti dan meneroka potensi yang ada pada ciptaan. Ini dilakukan melalui sains dan teknologi.

Bioperubatan, biosains dan teknologi nano menawarkan potensi besar untuk memberi kesejahteraan kesihatan dan hidup pada manusia.

Tetapi ia juga boleh menyumbang kepada kemudaratan apabila ia hanya bertujuan memuaskan kerakusan dan keangkuhan manusia.

Tenaga nuklear boleh dijadikan sumber pembangunan. Ia juga boleh menjadi sumber kerosakan dan kebinasan besar-besaran.

Ketiga: Ketika Allah memerintahkan kita membaca segala-galanya, Allah tidak meninggalkan kita tanpa panduan.

Maka itu diturunkan Al-Quran, dan diturunkan secara berperingkat.

Diutusnya Rasulullah saw yang merupakan ‘Al-Quran berjalan’ di muka bumi.

Al-Quran bukan buku sains, walaupun di dalamnya ada hakikat sains.

Al-Quran bukan buku sejarah, walapun diisi dengan banyak kisah-kisah sejarah.

Al-Quran juga bukan buku hukum atau perundangan walaupun ada ayat-ayat hukum.

Al-Quran adalah buku ‘hidayah’, atau petunjuk.

Selepas surah pembukaan (Al-Fatihah), Al-Quran menegaskan ia adalah “Kitab yang tiada keraguan padanya, sebagai petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah: 1).

Ketika Al-Quran mengkhabarkan kepada kita penurunannya dalam Ramadan, ia berkata: “Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil).” (Surah Al-Baqarah: 185).

Keempat: Jika kita memahami bahawa Iqra’ memerintah kita membaca segala yang tersurat dan tersirat, kita faham bahawa Allah masih terus berkomunikasi dengan kita.

Allah terus memberi petunjuk–Nya kepada kita melalui ayat tersurat yang dipelihara (Al-Quran), melalui contoh-contoh Rasulullah saw melalui tradisi sunnah atau hadisnya.

Allah juga terus berkomunikasi dengan kita melalui ayat-ayat tersirat. Ini melalui ciptaan–Nya, dan juga kejadian alam atau pergolakan hidup manusia.

Hatta, melalui kehidupan binatang dan tumbuh-tumbuhan tersirat wahyu Allah kepada manusia.

Manusia tidak ditinggalkan tanpa petunjuk dan panduan. Tetapi manusia lalai dan terlupa akan petunjuk dan panduan ini.

Manusia lalai dan lemas di tengah-tengah pencapaiannya, dan terlupa maksud, tujuan dan hikmah sesuatu.

Ringkasnya, umat Islam ialah umat yang banyak membaca dan menulis. Ia membaca dan menulis segala-galanya yang bermanfaat dan bermakna.

Bertadabbur dan bertafakur pada ciptaan dan kejadian alam adalah budaya hidupnya.

Mencipta demi membawa kesejahteraan alam dan kehidupan adalah misinya sebagai khalifah.

Jika kita mendakwa Al-Quran milik kita, maka umat Islamlah yang lebih utama menghidupkan etos Al-Quran ini dalam membangunkan tamadun dan kehidupan yang lebih sejahtera.

Keagungan Ramadan bukan hanya pada kewajipan berpuasa. Lebih utama ialah Ramadan ini bulan Al-Quran.

Tujuan berpuasa ialah agar kita bertakwa. Dan takwa ini adalah bekal dalam kita menjalankan misi Iqra’ dan membangunkan tamadun.

Maka, jika ada satu amalan dan budaya yang kita harap terus hidup dalam diri kita selepas Ramadan, ia adalah budaya Iqra’ – budaya membaca dan menulis, budaya meneliti, menelaah dan menghimpun.

No comments:

Post a Comment